Sunday, April 25, 2010

Kartun sebagai sejarah Kemanusiaan

Budaya kartun ini boleh diperkatakan masuk di masa kolonial melalui penerbitan suratkhabar. Dari masa sebelum kemerdekaan sehingga masa sekarang ini, telah ramai seniman kartun Malaysia membudayakan seni kartun ini sehingga diterima luas di kalangan masyarakat awam. Budaya kartun dari barat ini bersifat universal, melalui bahasa dan komunikasi visual kartun, para kartunis mengolah dan mengubahsuai lakaran dan idea agar diterima masyarakat tempatan. Subjektiviti, latar belakang sosial–politik dan pemihakkan terkadang mewarnai isi daripada karya kartunis. Tiada gading yang tak retak, walau bagaimanapun, seorang kartunis adalah manusia jua, peristiwa semasa dapat mempengaruhi emosional dan merubah cara pandangnya. Kerana itu rakaman peristiwa yang dilukis oleh kartunis-kartunis merupakan rakaman mengenai perubahan jiwa manusia itu sendiri. Kartun adalah rakaman sejarah kemanusiaan yang diwarnai dengan pelbagai corak dan cabaran konflik kehidupan, kerana itu pula kartunis dituntut untuk terus menggunakan hati nuraninya lebih telus berbanding menggunakan emosi seketika.
Kartun terawal muncul di Malaysia pada tahun 1930-an melalui dua akhbar besar: Warta Jenaka dan Utusan Zaman (Mahamood: 2004). Menurutnya kartun yang diterbitkan dalam Warta Jenaka mengandungi kritisisme politik, sosial dan ekonomi berkaitan dengan kaum Melayu, sebagai subjek kelucuan. Sedangkan Utusan Zaman ialah mingguan daripada suratkhabar Utusan Melayu yang diperuntukkan secara eksklusif sebagai media ekspresi membela martabat bangsa Melayu. Karakter kartun yang muncul buat ujung kalinya adalah Wak Ketok, diciptakan oleh Rahim Kajai dan dilukis oleh Ali Samat. Pelbagai isu konflik kepentingan dan masalah kebudayaan dibawakan dengan jenaka melalui kartun-kartun Wak Ketok ini. Selepas kemerdekaan muncullah nama-nama seperti Raja Hamzah, Rejabhad dan Mishar seiring dengan banyaknya penerbitan suratkabar dan majalah di Malaysia. Lahirlah kemudian bakat-bakat kartunis dari yang senior seperi Lat, Nan, Zoy, Zunar dan Rossem mencatatkan peristiwa-peristiwa penting dalam rakaman kartun-kartun mereka.
Pada akhir tahun 1970-an, Jafaar Taib dan rakan-rakannya melahirkan majalah humor nasional ‘Gila-Gila’, dan ini merupakan sebuah ‘revolusi’ yang terjadi dalam media tanah air. Gila-gila ialah sebuah ‘counter-culture’ kepada majalah MAD dari Amerika Syarikat yang terlalu diminati masyarakat. Semenjak itu demam kartun dan bakat-bakat kartun kartunis berterusan hingga kini.